+44(0) 1234 567 890 info@domainname.com

Selasa, 09 Desember 2014

Beriman Kepada Allah SWT

10.49

Share it Please

1. Definisi Iman
Iman berasal daripada perkataan dalam bahasa Arab iaitu amina bermakna kepercayaan atau membenarkan. Mengikut syarak, iman bermakna membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lidah serta mengamalkan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW seperti di bawah.
Rasulullah SAW bersabda bahawa iman bukan dengan cita-cita dan perhiasan tetapi keyakinan dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.
(Dilaporkan daripada Al-Tarmizi)
Iman adalah mengakui hanya Allah SWT sebagai Tuhan yang menciptakan alam semesta dan menafikan tuhan-tuhan selain Allah. Orang-orang yang beriman menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam hidupnya. Oleh itu orang beriman akan melakukan perkara yang diredai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Sekiranya terdapat dua perkara yang perlu dilakukan maka perintah Allah adalah keutamaan baginya.
2. Rukun Iman
Rukun iman merupakan asas keimanan seorang muslim. Setiap muslim wajib beriman kepada semua rukun tersebut supaya iman mereka menjadi sempurna. Orang-orang yang beriman kepada sebahagian rukun iman sahaja, maka orang tersebut tergolong dalam kumpulan orang-orang yang sesat. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Wahai orang-orang yang beriman! Kekalkanlah keimananmu kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadanya. Maka, sesiapa yang ingkar kepada Allah SWT dan para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya serta hari akhirat, sesungguhnya mereka telah sesat dengan kesesatan yang cukup jauh.”
(Surat An-Nisa’, ayat: 136)
Ayat di atas menerangkan tentang kepentingan beriman kepada semua rukun Iman. Perkara tersebut dipertegas dalam hadis di bawah,
Pada suatu hari seseorang yang berpakaian putih bertemu Rasulullah SAW dan bertanya tentang Islam, iman dan ihsan. Rasulullah SAW menjawab, "Iman adalah percaya kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan Qada dan Qadar yang baik dan buruk daripada Allah SWT.
(Dilaporkan daripada Sahih Muslim)
Kesempurnaan iman hanya wujud apabila manusia percaya kepada semua rukun-rukun iman tersebut. Iman merupakan asas yang sangat penting untuk melahirkan muslim yang baik. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Bukanlah suatu kebaikan apabila menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat. Namun kebaikannya adalah beriman kepada Allah SWT, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada saudara mara, anak-anak yatim dan orang-orang miskin.”
(Surat al-Baqarah, ayat: 177)
Ayat di atas menceritakan tentang pentingnya keimanan sebagai asas seorang muslim orang yang mempunyai keimanan yang kuat lebih mudah mengamalkan perintah Allah SWT walaupun menghadapi cabaran yang hebat.
1. Beriman kepada Allah
Beriman kepada Allah SWT bermakna menyakini bahawa,
a. Allah SWT adalah Tuhan yang menjadikan alam semesta. Allah SWT sebagai pencipta dan pentadbir alam semesta mengetahui semua aktiviti di alam semesta. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dan pada sisi Allah SWT-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya kecuali Dia. Dia mengetahui semua yang terdapat di darat dan laut, dan tidak ada sehelai daun pun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan sebutir biji-pun tidak akan jatuh dalam kegelapan bumi, dan tidak ada sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata iaitu Luh Mahfud.
(Surat al-An’am, ayat: 59)
Ayat di atas menerangkan bahawa setiap yang berlaku di alam semesta berada di bawah kawalan-Nya. Bahkan sehelai daun pun yang jatuh tetap di bawah pengawalan dan pentadbiran Allah SWT.
b. Allah SWT adalah satu-satunya Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT. Allah berfirman dalam ayat berikut yang bermaksud,
Kepada Engkau kami menyembah dan kepada Engkau kami memohon pertolongan
(Surah al-Fatihah, ayat 5)
c. Allah SWT mempunyai sifat sempurna dan Maha suci Allah SWT daripada sifat kekurangan. Allah berfirman dalam ayat berikut yang bermaksud,
3. Mengenali Sifat-sifat Allah SWT
Keimanan seseorang dapat ditingkatkan dengan memahami sifat-sifat Allah. Salah satu cara mengetahui sifat-sifat Allah SWT adalah dengan mengkaji makhluk ciptaan-Nya dan ajaran rasul-rasul seperti yang diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah SWT) untuk orang-orang yang beriman. Dan pada penciptaan kamu dan haiwan melata yang bertebaran (di muka bumi) terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah SWT) untuk kaum yang meyakini.”
(Surah al-Jaathiyah, ayat: 3 hingga 4)
Apabila kita mengkaji ciptaan Allah SWT, maka kita akan mengetahui kesempurnaan ciptaan Allah SWT. Antara sifat-sifat utama Allah SWT dijelaskan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Katakanlah, ‘Dialah Allah SWT, Yang Maha Esa. Allah SWT adalah Tuhan yang tidak bergantung kepada-Nya segala sesuatu, Dia tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan; Tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya.”
(Surat al-Ikhlas, ayat: 1 hingga 4)
Ayat di atas menjelaskan bahawa sifat-sifat Allah SWT merupakan syarat utama pencipta. Sifat-sifat tersebut dijelaskan oleh Allah, sifat-sifat tersebut merupakan piawai untuk mengenali pencipta alam semesta yang sebenar. Jika sifat Tuhan diberikan oleh manusia, maka setiap manusia mendefinasikan sifat tuhan mengikut pengetahuan dan keinginan masing-masing.
Sifat-sifat di atas adalah syarat mutlak bagi pencipta, sungguhpun demikian Allah dilengkapi dengan sifat-sifat kesempurnaan yang lain. Sekiranya sembahan yang disembah tidak dapat menepati syarat di atas maka sembahan tersebut bukan pencipta alam semesta.
a. Allah SWT adalah Maha Esa. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Maka janganlah kamu mengadakan sekutu bagi Allah SWT, padahal kamu semua mengetahui bahawa Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa.”
(Surah al-Baqarah, ayat: 22)
b. Allah SWT mempunyai kuasa yang mutlak. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir seluruh alam, yang amat pemurah, lagi amat mengasihani.”
(Surah al-Fatihah, ayat: 1 hingga 3)
c. Allah SWT tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai ibu bapa. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dan katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah SWT yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan Dia tidak memerlukan penolong. Agungkan Dia dengan penghargaan yang sebesar-besarnya.’ ”
(Surah al-Israa', ayat: 111)
d. Hanya Allah SWT layak disembah. Allah SWT berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia, yang kekal hidup dan mentadbir semua makhluk-Nya.”
(Surah al-Baqarah, ayat: 255)
e. Allah SWT tidak dapat dilihat. Allah SWT berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan tersebut dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-An'am, ayat: 103)
f. Tidak ada apapun yang setara dengan Allah SWT. Setiap imej yang difikirkan oleh minda manusia bukanlah Allah kerana Allah tidak serupa dengan makhluk. Oleh itu, manusia tidak dapat membayangkan rupa bentuk Allah. Allah SWT berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Engkaulah Tuhan yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, siang ke dalam malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup daripada benda yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati daripada benda yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada hisab.”
(Surah Ali-Imran, ayat: 27)
Pandangan al-Kitab tentang Allah SWT
Sebahagian ayat dalam al-Kitab yang masih kekal dengan mengajarkan sifat-sifat Allah SWT sama seperti ajaran Islam. Oleh itu, muslim tidak menolak ayat-ayat al-kitab yang tidak bercanggah al-Quran ataupun hadis .
a. Allah SWT Maha Esa
Yesus memberitahu umatnya bahawa Allah SWT bersifat Maha Esa seperti diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud.
Yesus menjawab, inilah perintah yang paling utama, Shama Israelu adonoi ilahaini adonoi ahud: ‘Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan kita, dialah Tuhan yang esa.
(Buku Markus, Bab 12, ayat: 28 hingga 29)
Ayat di atas membuktikan bahawa Yesus mengajarkan umatnya bahawa Tuhan adalah Esa dan ayat tersebut menafikan Yesus sebagai tuhan seperti dakwaan orang-orang Kristian. Sekiranya Yesus adalah tuhan, maka Yesus akan berkata Tuhan kamu dan aku adalah tuhan yang satu. Namun sebaliknya, beliau berkata tuhan kita adalah tuhan yang Esa. ‘Kita’ dalam ayat di atas merujuk kepada Yesus dan pengikutnya.
b. Allah SWT merupakan pelindung bagi manusia. Al-Kitab melaporkan dalam ayat di bawah ini,
Allah SWT yang kekal menjadi pelindung kamu.
(Buku Deutronomy, Bab 33, ayat: 27)
c. Tuhan tidak dapat dilihat. Al-Kitab melaporkan dalam ayat di bawah ini bahawa,
“Kamu belum pernah mendengar suaranya atau melihat mukanya.”
(Buku Yohanes Bab 5, ayat: 37)
Ayat di atas menerangkan bahawa Tuhan tidak dapat dilihat dan tidak dapat didengar suara-Nya. Ayat ini bersesuaian dengan ayat di bawah ini yag bermaksud,
"Berkata Musa: "Ya Tuhan-ku, nampakkanlah (diri-Mu) kepadaku agar aku dapat melihat-Mu". Allah berfirman: "Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku, tapi lihatlah ke gunung itu. Jika ia tetap berada di tempatnya nescaya kamu dapat melihat-Ku". Tatkala Tuhan-nya menampakkan diri kepada gunung itu, dijadikannya gunung itu hancur luluh.."
(Surah al-A’raaf, ayat 143)
d. Jangan mensyirikkan Allah SWT. Al-kitab melaporkan dalam ayat di bawah ini bahawa,
“Akulah Tuhan, Allah SWT yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain, sembahlah aku sahaja.”
(Buku Exodus, Bab 20, ayat: 2 hingga 3)
Ayat di atas menerangkan bahawa al-kitab juga melarang umatnya mensyirikkan Allah. Ayat ini bersesuaian dengan ayat di bawah ini yag bermaksud,
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.
(Surah an-Nisa, ayat 48)
e. Bertaubat untuk menghapuskan dosa
Kebanyakan penganut Kristian beriman bahawa Yesus adalah Tuhan, beliau mati disalib untuk menebus dosa manusia. Namun demikian, Yesus menafikan perkara tersebut dengan mengatakan bahawa dosa hanya diampuni apabila bertaubat. Sila rujuk ayat di bawah.
Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, "Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah SWT akan memerintah!"
(Buku Matius, Bab 4, ayat: 17)
f. Allah SWT Maha Kuasa
Al-Kitab melaporkan dalam ayat di bawah ini,
….Aku akan pergi tetapi aku akan kembali kepada kamu. Jika aku mengasihi kamu, aku akan bersukacita kerana aku pergi kepada Bapa, kerana bapa lebih besar daripada aku.
(Buku Yohanes Bab 14, ayat: 28)
Pandangan Kitab agama Hindu tentang Allah SWT
a. Tuhan itu Esa
Penganut agama Hindu percaya bahawa tuhan adalah Esa. Namun begitu, mereka mengimejkan sifat-sifat tuhan ke dalam pelbagai bentuk imej seperti Brahma, Visnu dan Shiva, sedangkan amalan tersebut bercanggah dengan ayat di bawah ini.
Ekam evadvitiyam maknanya Tuhan adalah satu tidak ada dua.
(Chandogta Upanishad 6:2:1)
Tuhan yang digambarkan dalam kitab Hindu tidak mempunyai imej sebagaimana yang dilaporkan dalam ayat di bawah ini.
Na tasya pratima asti maknanya Ia tidak mempunyai imej.
(Yajurveda 32:3)
Dalam ayat yang lain kitab diterangkan ddi bawah ini yang bermaksud,
Ekam Brahm, divitiya naste neh na saste Kinchan Bhagwan ek hi hai dusara nahu hai, nahi hain nahi hai zara bhi nahi hai dengan makna hanya ada satu Tuhan, tidak ada dua dan dialah yang terakhir.
(Brahma Sutra)
Ayat di atas merupakan zikir-zikir yang diamalkan oleh penganut agama Hindu untuk memuji sifat tuhan. Doa tersebut hamper sama dengan zikir yang dibaca oleh muslim selepas habis solat.
b. Tidak ada yang serupa dengannya
Kitab agama Hindu juga memberitahu bahawa Tuhan tidak mempunyai ibu bapa seperti dilaporkan dalam ayat di bawah ini.
Na casya kascij janita na cadhipah maknanya Tuhan tidak mempunyai ibu bapa atau lebih besar daripadanya.
(Svetasvatara Upanishad 6:9)
Ayat ini selaras dengan ajaran Islam yang diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
Dia tidak melahirkan dan tidak dilahirkan
(Surah al-Ikhlas, ayat 4)
Prinsip ketuhanan dalam Hindu kadangkala disamakan dengan konsep ‘semua yang wujud adalah Tuhan’. Tuhan adalah segala - galanya, hanya sesuatu yang nyata dianggap wujud dan sesuatu yang tidak nyata dianggap tidak wujud. Prinsip ini juga sering disalahertikan dengan beranggapan bahawa alam semesta dan Tuhan adalah identical yang dikenali sebagai konsep Pantheisma iaitu percaya bahawa semua adalah tuhan. Fahaman ini telah meresap secara halus ke dalam kepercayaan umat Islam.
c. Tidak boleh menyekutukan Allah SWT
Agama Hindu juga melarang menyembah selain Allah seperti dilaporkan dalam ayat di bawah yang bermaksud,
Andhatama pravishanti ye asambhuti mupaste membawa maksud sesiapa yang menuju kegelapan adalah mereka yang menyembah asambuthi (alam).
(Yajurveda 40: 9)
Ayat di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang menyembah alam atau ciptaan akan menuju kepada kegelapan. Larangan ini selaras dengan larangan dalam agama Islam yang dilaporkan dalam ayat yang bermaksud,
PERBINCANGAN
1. Betulkah Allah SWT itu wujud? Kalau wujud kenapa tidak nampak?
Kewujudan Allah SWT dapat dibuktikan dengan pelbagai cara. Sebahagian manusia memerlukan bukti saintifik dan logik terhadap kewujudan Allah SWT.
a. Kewujudan alam semesta membuktikan wujud pencipta
Pada suatu hari anda bersiar-siar bersama seorang kawan dalam hutan, anda dan kawan tersesat dalam hutan tersebut. Kemudian anda menemui sebuah rumah di tengah-tengah hutan, pintunya terbuka dan tersusun kemas di dalamnya. Lantai bersih, tingkap terbuka dan makanan terhidang di atas meja. Kemudian kawan anda mengatakan bahawa rumah tersebut tidak ada penghuni dan semua itu wujud secara semulajadi.
Anda tidak percaya dan menolak dakwaan tersebut. Sekiranya anda tidak dapat terima kewujudan perkara yang kecil seperti itu secara semula jadi, bagaimana pula anda boleh percaya bahawa dunia ini wujud secara semulajadi? Cakerawala yang tersusun kemas dan tidak pernah berlanggar antara satu dengan yang lainnya, mustahil tidak ada pencipta dan pentadbirnya.
Sedangkan kereta yang mempunyai pemandu sering berlanggar, apatah lagi planet-planet di bumi ini. Tanpa pentadbir planet-planet tersebut, akan berlanggar sesama sendiri. Hal ini membuktikan bahawa alam semesta dicipta dan ditadbir oleh pencipta iaitu Allah SWT.
Kebanyakan orang bukan Islam hanya berpegang kepada logik dan percaya kepada sesuatu yang dapat dilihat sahaja. Mereka tidak akan percaya kepada sesuatu yang tidak wujud atau tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan hal yang berkaitan dengan agama. Namun begitu, mereka boleh mempercayai perkara tersebut apabila ia dihubungkaitkan atau dibuktikan dengan sains. Mereka mempercayai kewujudan oksigen walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana ia dapat dibuktikan secara saintifik.
b. Manusia tidak mempunyai kuasa menghalang kehendak pencipta
Setiap manusia mempunyai keinginan yang berbeza, sebahagian manusia lebih menyukai hujan dan sebahagian lagi lebih menyukai cuaca cerah. Namun demikian, tidak ada seorang pun yang dapat memilih keinginan masing-masing iaitu sama ada hujan atau matahari.
Manusia hanya mampu meramalkan cuaca tetapi tidak dapat mengawal fenomena tersebut kerana ia hanya bergantung kepada ketetapan pencipta. Fenomena ini dapat membuktikan bahawa terdapat kuasa tunggal yang mengatur alam semesta iaitu Allah SWT.
c. Manusia hanya berdoa dan mengadu kepada pencipta
Orang-orang yang tidak mempercayai kewujudan pencipta sekalipun akan memohon kepada pencipta semasa menghadapi kesakitan dan mengalami kesedihan, tidak kira sama ada dilakukan sendiri ataupun melalui orang lain. Mungkin orang tersebut tidak akan memohon sendiri kepada pencipta tetapi akan meminta orang lain yang melawatnya untuk mendoakan kesembuhan dan kegembiraan untuk dirinya. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Dan apabila manusia ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri tetapi selepas Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia kembali ke jalan yang sesat, seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk menghilangkan bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas, memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.”
(Surah Yunus, ayat: 12)
Ayat di atas menjelaskan bahawa hanya Allah SWT sahaja tempat manusia bergantung terhadap perkara yang berlaku di bawah pentadbiran-Nya. Orang-orang yang beriman hanya bergantung kepada ketetapan Allah SWT selepas berusaha dengan bersungguh-sungguh. Jika keputusan yang diperolehi adalah buruk, maka ia akan diterima dengan hati yang tulus dan jika keputusan yang diperolehi adalah kejayaan, maka mereka akan mensyukurinya.
d. Manusia tidak dilengkapi dengan deria untuk melihat Allah
Mereka tidak mempercayai Allah SWT kerana Allah SWT tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Walau bagaimanapun, secara realitinya Allah SWT tetap wujud sungguhpun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Hal ini bermakna Allah SWT mempunyai sifat yang berbeza dengan manusia. Manusia berada dalam ruang, masa dan jisim sedangkan Allah SWT berada di luar daripada masa, tempat dan jisim. Oleh itu, manusia tidak dapat melihat Allah.
Allah SWT tidak melengkapi manusia dengan deria untuk dapat melihat Allah SWT. Situasi ini juga boleh diibaratkan seperti sebuah pen yang tidak dapat melihat pembuatnya. Kenapa pen tidak dapat melihat orang yang menghasilkannya? Ini kerana pembuat pen itu tidak memberikan deria penglihatan kepada pen tersebut.
Sekiranya pen tersebut dilengkapi dengan deria untuk melihat tuannya, maka pen itu akan dapat melihat tuannya. Begitu juga manusia. Manusia tidak dapat melihat Allah SWT kerana Allah SWT tidak melengkapkan manusia dengan deria untuk melihat-Nya.
2. Kenapa Tuhan hanya satu?
a. Allah Maha Kuasa.
Kekuasaan Allah mencakupi seluruh alam semesta, Allah dapat mentadbir alam semesta tanpa memerlukan bantuan makhluk lain. Jika terdapat tuhan selain Allah maka menunjukkan kekuasaan terhad. Sekiranya pencipta lebih daripada satu, maka kehidupan ini akan menjadi huru-hara.
Setiap Tuhan mempunyai keinginan yang berbeza-beza dan setiap Tuhan berusaha melaksanakan keinginan masing-masing. Percenggahan keinginan akan menyebabkan dunia menjadi hancur. Perkara ini dilaporkan dalam ayat di bawah.
“Sekiranya di langit dan di bumi terdapat tuhan-tuhan selain Allah SWT, tentulah kedua-duanya akan binasa. Maka Maha Suci Allah SWT yang mempunyai Arasy daripada apa yang mereka sifatkan.”
(Surah al-Anbiya, ayat: 22)
Ayat di atas menjelaskan bahawa jika Allah SWT lebih daripada satu, maka setiap Tuhan mempunyai keinginan yang berbeza sehingga akan menimbulkan pergaduhan. Cuba bayangkan sebuah kapal terbang dipandu oleh dua juruterbang, apakah yang akan berlaku? Jawapannya, kapal tersebut akan jatuh.
b. Berlaku perebutan kekuasaan
Perumpamaan tersebut dapat diumpamakan sekiranya dunia ini ditadbir oleh Tuhan yang lebih daripada satu, pasti akan berlaku perbezaan pandangan dan perebutan kekuasaan untuk mentadbir mengikut keinginan masing-masing. Allah berfirman dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Allah SWT sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) berserta-Nya. Kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah SWT daripada apa yang mereka sifatkan itu.”
(Surah al-Mukminun, ayat: 91)
3. Adakah Islam melarang bukan Muslim menggunakan kalimah ‘Allah’?
Sebahagian ulama berpendapat bahawa penggunaan kalimah Allah SWT adalah harus dan sebahagian lagi mengatakan haram.
a. Bukan Muslim boleh menggunakan kalimah ‘Allah’
Keharusan penggunaan kalimah Allah SWT bagi orang bukan Islam adalah merujuk kepada ayat al-Quran di bawah ini yang bermaksud,
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka, ‘Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?’ Tentu mereka akan menjawab, ‘Allah SWT.’ Katakanlah, ‘Segala puji bagi Allah SWT’. Namun begitu, kebanyakan mereka tidak mengetahuinya.”
(Surah Luqman, ayat: 25)
Selain merujuk kepada ayat-ayat al-Quran, sejarah telah menunjukkan bahawa kalimah Allah telahpun wujud sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Ia dibuktikan dengan nama bapa Rasulullah iaitu Abdullah yang bermakna hamba Allah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW juga, orang-orang Yahudi dan Nasrani menggunakan kalimah Allah. Orang Yahudi menyatakan Uzai itu anak Allah, manakala Nasrani menyatakan Jesus adalah anak Allah.
b. Bukan Muslim tidak boleh menggunakan kalimah ‘Allah’
Kerajaan Malaysia tidak membenarkan bukan Muslim menggunakan kalimah Allah SWT kerana beberapa perkara. Antaranya ialah:
1. Perundangan Malaysia
Melalui sistem perundangan, mahkamah telah menetapkan hukum penggunaan kalimah Allah SWT hanya khas untuk orang muslim sahaja. Pakar dan ulama tidak mempunyai kebenaran untuk menetapkan hukum tentang keputusan tersebut. Walau bagaimanapun, pakar hukum-hakam Islam hanya berperanan sebagai golongan yang dirujuk untuk membuat keputusan tersebut.
2. Salah faham makna Tuhan dan Allah di Malaysia
Orang bukan Islam menganggap Allah dan Tuhan mempunyai makna yang sama, padahal Allah dan Tuhan mempunyai makna yang berbeza. Mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuhan adalah sesuatu yang dipuja oleh manusia yang beragama seperti dewa dan sebagainya.
Manakala Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Esa atau Tuhan Yang Esa. Kalimah Allah hanya digunakan khas kepada tuhan yang mempunyai sifat-sifat seperti diterangkan dalam ayat di bawah ini.
“Katakanlah Wahai Muhammad, ‘Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai atau setaranya dengan Dia.’ ”
(Surah al-Ikhlas, ayat: 1 hingga 4)
Jika orang bukan Islam memahami perbezaan di antara Tuhan dengan Allah, maka tidak timbul isu penuntutan penggunaan kalimah Allah dalam al-Kitab dan surat khabar harian Kristian berbahasa melayu Herald Newsweekly. Tidak menjadi permasalahan sekiranya orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam al-Kitab untuk merujuk kepada Allah yang mempunyai sifat seperti yang diterangkan dalam surah al-Ikhlas di atas. Kristian menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Yesus yang tidak mempunyai sifat-sifat Allah seperti diterangkan dalam ayat di atas.
3. Kerajaan Malaysia menyekat penggunaan kalimah Allah dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly kerana mereka ingin menjaga keharmonian masyarakat Malaysia masyarakat muslim secara amnya belum bersedia untuk menerima penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam. Kerajaan risau jika diluluskan umat kristian menggunakan kalimah Allah akan berlaku kekacauan di antara muslim dengan kristian.
4. Kerajaan Malaysia mengguna pakai pandangan sebahagian pakar Islam yang mengatakan bahawa bukan Islam haram menggunakan kalimah Allah SWT. Beberapa sebab pengharaman kalimah Allah bagi bukan muslim ialah:
a. Nabi Muhammad SAW membersihkan sifat-sifat Allah daripada tuduhan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Sebagaimana firman Allah di dalam al-Quran,
“Orang-orang Yahudi berkata, ‘Uzair itu putera Allah.’ Dan orang Nasrani berkata, ‘Al-Masih itu putra Allah.’ Demikian itulah ucapan yang keluar daripada mulut mereka. Mereka meniru perkataan orang-orang kafir yang terdahulu.”
(Surah at-Taubah, ayat: 30)
b. Kalimah Allah tidak pernah wujud dalam bahasa asal penulisan kitab Taurah dan al-Kitab. Kitab Taurah yang asal ditulis dalam bahasa Ibrani (Hebrew) manakala al-Kitab yang asal ditulis dalam bahasa Greek (Yunani). Dalam bahasa Ibrani dan Greek, tidak wujud kalimah Allah.
Dalam bahasa Ibrani, Tuhan ditulis dengan gelaran adalah Yahweh manakala dalam bahasa Greek tuhan digelar sebagai Theos. Tuhan yang sebenar yang disembah oleh orang Greek adalah Hotheos, manakala sembahan selain Allah SWT disebut sebagai Tontheos.
c. Kerajaan Malaysia hanya mengharamkan penggunaan kalimah Allah dalam penulisan rasmi seeprti surat kabar dan buku-buku yang diedarkan secara bebas. Kerajaan tidak melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan orang-orang kristian sendiri seperti di dalam gereja dan kalangan penganut kristian.
Penggunaan kalimah Allah dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly dikhuatiri akan mengelirukan umat Islam terutama para remaja dan kanak-kanak Muslim yang belum mempunyai asas pemahaman Islam yang kuat. Sekiranya mereka terbaca kalimah Allah dalam al-Kitab atau Herald Newsweekly berbahasa Melayu, maka mereka akan keliru.
Penganut Kristian perlu membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya semua Bible berbahasa Inggeris yang sudah lazim menggunakan God merujuk kepada Yesus ditukar kepada Allah?
Perkara tersebut akan mengelirukan penganut Kristian khasnya kalangan remaja dan kanak-kanak yang belum mempunyai asas Kristianiti yang kuat? Demi menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia, kerajaan mengambil langkah berhati-hati untuk menjaga kepentingan semua penganut agama dengan menyekat penggunaan kalimah Allah SWT dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly.
d. Hujah yang menyatakan bahawa kalimah Allah telah wujud dalam al-Kitab (Bible berbahasa Melayu) dan al-Kitab al-Muqaddas (Bible terjemahan dalam bahasa Arab) sejak zaman dahulu ditolak kerana kalimah Allah yang digunakan dalam kitab tersebut merujuk kepada akidah Triniti (tiga dalam satu) iaitu Tuhan Bapa di syurga (Allah), Tuhan anak (Yesus) dan Ruhul Kudus. Kalimah Allah yang terdapat dalam al-Kitab bercanggah dengan sifat Allah SWT yang sebenar seperti yang diterangkan dalam ayat di bawah ini yang bermaksud,
“Katakanlah Wahai Muhammad, ‘Dialah Allah SWT, Yang Maha Esa. Allah SWT adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan. Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai atau setaranya dengan Dia.’ ”
(Surah al-Ikhlas, ayat: 1 hingga 4)
e. Menjaga kesucian kalimah Allah dan sifat-Nya kerana penganut Kristian mempunyai kefahaman tentang kalimah Allah adalah berbeza dengan yang diterangkan oleh Allah dalam al-Quran. Kalimah Allah yang terdapat dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly merujuk kepada Yesus sedangkan kalimah Allah yang diterangkan dalam al-Quran merujuk kepada kepada Allah yang mempunyai sifat seperti diterangkan dalam surah al-Ikhlas (ayat: 1 hingga 4).
f. Kalimah Allah mempunyai partikel “al” dan “ilah”, “al-ilah” merujuk kepada “The Only God” iaitu Keesaan Allah. Al-Ilah bermakna menafikan sembahan selain Allah sedangkan Kristian menyembah Tuhan selain Allah seperti Yesus dan Ruhul Kudus. Maka, kalimah Allah tidak layak digunakan dalam al-Kitab kerana telah terpesong daripada sifat Allah yang sebenar.
g. Kerajaan Malaysia merisaukan penganut Kristian akan menyebarkan ajaran Kristian kepada Muslim dengan menggunakan kalimah Allah dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly sedangkan perkara ini bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama lain kepada penganut Islam.
Kerisauan tersebut disebabkan kerana
a. Al-Kitab berbahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah seperti tuntutan dalam bahasa Melayu?
b. Kerajaan mempertikaikan mengapa Kristian menterjemahkan kalimah God dialih bahasa kepada bahasa Melayu menjadi Allah sedangkan kalimah yang patut diguna pakai adalah Tuhan. Penganut kristian mengatakan kalimah Allah adalah alih bahasa kepada God ke dalam bahasa Melayu.
Allah bukan merupakan perkataan dalam bahasa Melayu tetapi bahasa Arab. Allah tidak pernah dialih bahasa ke dalam bahasa apa pun kerana tidak ada kalimah yang layak menggantikan makna yang terkandung dalam kalimah Allah tersebut.
Oleh sebab itu, tidak ada satu bahasa pun yang mengalih bahasa kalimah Allah kepada bahasa selain bahasa Arab. Mengapa tiba-tiba penganut Kristian ingin menggunakan kalimah Allah dalam al-Kitab dan Herald Newsweekly? Jika tidak terdapat niat untuk menyebarkan agama kristian di kalangan Melayu Muslim.
5. Penolakan cendekiawan Kristian dalam penggunaan kalimah Allah.
Penulis buku “The Venture of Islam: Conscience and History in a World Civilization” iaitu Marshall G.S. Hodgson menolak penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian kerana kalimah Allah yang digunakan oleh Muslim merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh Muslim sahaja.
Pada Ogos 2007, Tiny Musken menyeru penganut Kristian untuk menggunakan kalimah Allah tetapi Mendapat bantahan daripada,
a. Penganut Kristian Protestan dan Roman Katolik, Presiden Liga Katolik bagi hak agama dan sivil dengan bunyinya seperti berikut.
“Bishop Martinus Tiny Muskens can pray to Allah all He wants, but only addlepated Catholics will follow his lead. It’s not good sign when members of the Catholics Hirarchy indulge in fawning exchange with Muslims, or those of any others religion.”
b. Pengerusi General Synod of Dutch protestan Church, Gerrit de Fijter juga menolak cadangan Muskens dengan berkata,
“I applaud every attempt to encourage dialogue with Muslim, but I doubt the sense of this Meneuver.”
c. Izzat Andrew (Penganut Kristian Koptik di Mesir) melalui artikel beliau berbahasa Arab yang bermakna Allah bukan Tuhan bagi agama Kristian dan Yahudi berkata,
“Kalimah Allah berasal daripada orang Jahiliah merujuk kepada Tuhan bulan. Ia tidak pernah wujud dalam kitab suci Yahudi dan Nasrani. Tuhan bagi agama Kristian adalah Elohim.”
Kesimpulan
1. Beriman bermakna menyakinkan dengan hati, mengikrarkan dengan lidah dan mengamalkannya dalam kehidupan harian. Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT akan berusaha mencintai Allah SWT dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
2. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT dengan ciptaan-Nya, bermakna mensyirikkan Allah SWT dan Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik tersebut.

0 komentar:

Posting Komentar